Maal Hijrah dira'i tanda berlalunya tahun ini dan datanglah tahun baru yang sepatutnya menyaksikan manusia bergelar hamba Allah dengan azam baru. Namun, perlu kita akui, sambutan tahun baru Masihi lebih utama kita raikan berbanding Tahun Baru Hijrah. Ayuh kita lihat kepada sirah di sebalik peristiwa hijrah. Ia membawa seribu satu perubahan kepada kemenangan dan keagungan Islam di bawah pimpinan agung Kekasih Allah, Rasulullah s.a.w. Berbeza dengan tahun baru masihi yang majlisnya penuh dengan unsur hiburan yang melekakan. Bukan nak mengutuk, tapi itulah hakikatnya.
Andai kita diajar meraikan tahun baru hijrah dengan menelusuri sirah perjuangan Baginda, maka alhamdulillah, nampaknya kita lebih kenal erti ketaqwaan berbanding keseronokan dan hiburan. Tapi, andai Tahun Baru Masihi lebih-lebih lagi kita agungkan dengan tatacara sambutan yang tak semena-mena, wa'iyaazubillah. Hati kita mungkin dicemari noktah-noktah hitam penangan hedonisme dari insan-insan yang mahu memadamkan kebesaran dan keagungan Allah dengan ciptareka mereka.
Peristiwa hijrah merupakan simbol pemisahan antara perkara yang hak dan perkara yang batil. Orang Islam di Mekah telah disiksa sehingga datanglah Saidina Abu Bakar r.a. kepada Rasulullah untuk memohon agar umat Islam berhijrah. Maka kata Rasulullah, "Sabar, aku menunggu perintah dari Allah". Setelah datang perintah dari Allah, maka berhijrahlah umat Islam ke Madinah secara bersembunyi dan berjaga-jaga. Kafir musyrikin jadi tak keruan lalu mengatur strategi untuk membunuh Rasulullah. Namun, pertolongan Allah itu dekat. Perjalanan hijrah Rasulullah ke Madinah dibantu Allah dengan hadirnya sahabat karib yang menemani dan melindungi. Begitu juga dengan komitmen Saidina Ali r.a. bagi menggantikan tempat tidur Baginda. Saidina Abu Bakar r.a. juga telah merekrut ahli keluarganya untuk membantu perjuangan Rasulullah dengan melantik anaknya Asma' sebagai pengurus bahagian bekalan, Abdullah sebagai perisik dan bahagian kawalan, serta pembantunya Amir bin Fuhairah sebagai penghapus bekas tapak kaki Rasululullah dengan membawa kambingnya. Tingginya rasa cinta mereka kepada Rasulullah hingga membuahkan pengorbanan harta, tenaga dan masa tanpa menagih sebarang ganjaran.
Peristiwa hijrah memperlihat kepada kita betapa tingginya kedudukan agama dan aqidah Islamiah, di mana ia harus dibela walau dalam apa jua caranya. Walau dilihat seolah mengalah, dengan meninggalkan tanah tumpah darah, tapi ia adalah permulaan yang hebat bagi sebuah kemenangan yang mendapat berkat. Betapa Allah memelihara mereka yang berjuang di jalannya. Walau datang rasa takut dalam hati Saidina Abu Bakar r.a. saat hampirnya orang kafir musyrik dengan Gua Thur, Rasulullah s.a.w. mengingatkan bahawa ada Allah di antara mereka dan keyakinan Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. terhadap bantuan Allah ini benar. Dengan kuasa Allah, tiada siapa yang menjejaki mereka. Allah menghijabkan mereka yang ingin menjatuhkan Islam dari menyedari keberadaan kekasihnya jua sahabat karib kekasihnya yang berada hampir dengan mereka. Begitu juga kisah Suraqah bin Ja'syam yang pada paginya begitu tegar untuk memberkas Rasulullah bagi mendapatkan ganjaran lumayan dari kafir musyrik, akhirnya menjadi pelindung Rasulullah pada sebelah petang setelah menyaksikan kekuasaan Allah dalam melindungi Rasulullah s.a.w. Kudanya yang mengejar Rasulullah dari belakang berkali-kali jatuh melutut, terbenam di dalam padang pasir. Saidina Abu Bakar r.a. berasa takut, namun Rasulullah dengan keyakinan yang teguh kepada Allah langsung tidak menoleh sehinggalah terdengar jeritan Suraqah memohon bantuan atas rasa takutnya terhadapa apa yang berlaku padanya dan apa yang dilihatnya. Bantuan Rasulullah s.a.w. membawanya kepada jalan hidayah. Suraqah pulang ke Kota Mekah dengan dalih-dalih bagi menyelamatkan perjalanan Rasulullah s.a.w. ke Madinah.
Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah dengan sambutan hebat dari masyarakat Ansar di sana. Aluan zikrullah, qasidah memuji nabi dan kebesaran Allah mengiringi kemasukan Baginda sa.w. Romantiknya suasana bila Rasulullah s.a.w. bertanya kepada penduduk Mekah, "Adakah kamu semua mencintai aku?" Mereka menjawab, "Ya" Sambung Rasulullah s.a.w. lagi, "Hanya Allah yang mengetahui hati sanubariku, yang aku kasihkan kamu sekalian." Allahu Rabbana. Cuba bayangkan sekiranya kita hari ini menerima ucapan Baginda s.a.w. tersebut. Mengalir air mata, merasai jerih perih yang Rasulullah s.a.w. termpuhi untuk kita.
Lihatlah apa yang Rasulullah lakukan. Baginda bina masjid sebagai pusat menyemai ketaqwaan kepada umat Islam. Kemudian Baginda membina pula pasar sebagai pusat kemasyarakatan untuk jana ekonomi negara. Islam tersebar luas. Umat membangun dengan jati diri berasaskan ketaqwaan.
![]() |
| InnaALLAHa ma'ana! |
Maka hari ini, bila kita menyambut Ma'al Hijrah, ayuh kita renungi lembaran hidup kita. Pada perkara yang baik, ayuh kita teruskan, dan perkara-perkara buruk berbaur maksiat ayuh kita tinggalkan. Jadikan tahun baru ini, tahun 1434H sebagai satu wasilah untuk kita laksanakan anjakan paradigma dalam diri. Ayuh kita ambil ibrah peristiwa hijrah di atas untuk kita kemudi hidup kita sebagai umat kekasih Allah yang agung.
- Hari-hari dalam hidupku mestilah memastikan aku mengorbankan segala-galanya sekiranya keadaan memaksa demi kepentingan aqidah dan Islam.
- Semaikan cintaku pada Allah dan Rasulnya sebagaimana cintanya Saidina Abu Bakar as-Siddiq kepada Baginda s.a.w. Sanggup berhadapan dengan bahaya untuk menyokong perjuangan Baginda s.a.w. menegakkan kebenaran.
- Berhati-hati dalam setiap tindakan sepertimana berhati-hatinya Rasulullah dan umat Islam meninggalkan Kota Mekah supaya urusan kemenangan berjalan lancar.
- Yakini bahawa adanya Allah dalam setiap urusan menegakkan agama-Nya, hatta menegakkan agama-Nya dalam diri kita. Bila beriltizam untuk berubah, maka yakinlah Allah ada dan Allah sentiasa suka perubahan baik kita. Mudah-mudahan kita istiqamah.
- Andai kita pemimpin, pimpinlah anak-anak buah kita kepada ketaqwaan dengan penuh iltizam. Gunakan segenap jawatan yang kita ada untuk kita bawa Islam dalam diri dan masyarakat kita. Allah ada dengan kita.
- Andai kita pengikut, dokonglah pemimpin-pemimpin kita yang bersungguh-sungguh membawa Islam. Berilah kekuatan kepada mereka dengan menzahirkan kebersamaan kita seperti mana Saidina Abu Bakar r.a. dan kaum kerabatnya membantu peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.
Sebagai khulasahnya, Hijrah adalah peristiwa yang memisahkan antara HAK dan BATIL. Mengajak kita pada hari ini agar sentiasa menjadi lebih baik dari hari ke hari. Andai kita tak mampu berseorangan, maka berjemaahlah mencari kebaikan. Andai kita tak mampu berbuat baik secara sendiri, maka berbaiklah dengan mereka yang baik. Pasakkan Islam dalam diri kita dan mereka di sekeliling kita. Bersama-samalah kita menjadi lebih baik kerana Allah. Semalam adalah kisah lampau sebagai pengajaran. Hari ini dan esok yang mendatang adalah peluang yang Allah bagi pada kita untuk kita tingkatkan ketaqwaan dan ketaatan kepadaNYA. Hakikatnya, hidup kita ini untuk menzahirkan ketaatan kepadaNYA agar dapat bertemuNYA dalam redha.
![]() |
| jom amalkan doa ni, selepas asar & maghrib. :) |
Wallahu a'lam.
Salam Ma'al Hijrah.
al-faqirah ilallah, Adilah binti Kamal Azizi.




Salam Maal Hijrah ukhti..^_^
ReplyDelete