
SHAH ALAM: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam mencadangkan kerajaan dan pengurusan UiTM mengecualikan yuran pengajian kepada pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.
Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata dua kategori pelajar yang perlu dikecualikan daripada membayar yuran ialah ibu bapa mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 dari kawasan bandar dan RM1,500, luar bandar.
Katanya, mereka yang layak juga diambil kira berdasarkan bilangan tiga orang adik beradik yang bersekolah.
"Kita memandang serius usaha yang memberikan manfaat kepada pelajar yang masih menuntut di UiTM termasuk memastikan UiTM terus relevan dalam melahirkan graduan berkualiti seiring dengan kuantiti," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah di sini.
"Pengecualian yuran pengajian itu perlu berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah di sini.
Ini adalah pertemuan pertama mereka selepas Mohd Zin menjawat jawatan Presiden Alumni UiTM. Sehingga kini, Persatuan Alumni UiTM disertai kira-kira 362,000 graduan UiTM yang terdiri daripada pelbagai bidang profesional.
Mohd Zin berkata, persatuan itu juga mencadangkan penubuhan skim takaful, khairat kematian dan dana pendidikan di bawah nama Yayasan Pendidikan dan Khidmat Sosial Alumni UiTM dengan setiap anggota menyumbang RM10 sebulan.
Berikutan itu, katanya, persatuan akan memohon kerajaan menambah dana itu berasaskan 'matching grant'.
Mohd Zin berkata, persatuan juga berhasrat menubuhkan Pusat Kemahiran dan Khidmat Alumni UiTM di setiap negeri bagi manfaat bakal pelajar UiTM, antaranya menyediakan kelas bahasa Inggeris, pusat latihan dan kepemimpinan, bimbingan kerohanian dan latihan kemahiran kepada mereka yang tercicir dari sekolah dengan mengenakan caj minimum.
Katanya, sehubungan itu pihak Alumni akan memanjangkan cadangan itu kepada seluruh kerajaan negeri dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha merealisasikannya.
Ibrahim yang menyambut baik cadangan itu berkata, ia selaras falsafah dan strategi UiTM bagi menaikkan imej UiTM secara keseluruhannya untuk muncul sebagai sebuah universiti tersohor.
Menyifatkan ia perbincangan peringkat pertama, katanya, UiTM dan Persatuan Alumni UiTM akan berusaha membantu seramai mungkin anak Melayu dan Bumiputera mendapat peluang belajar ke universiti itu.
"Kita akan memastikan tidak ada alasan bagi orang Melayu dan Bumiputera mengatakan mereka tidak dapat menghantar anak ke universiti kerana tidak ada wang. Kita tidak mahu mendengar alasan itu lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment
persepsi anda...