Assalamualaikum...
Episod seorang guru...
Bukan mudah menjadi seorang guru, yang mampu mendidik anak-anak muridnya mengenal Allah, mendekatiNYA, mengingatiNYA, apatah lagi untuk sentiasa beramal untuk mencari redhaNYA. Ia bukan satu proses yang mudah, semudah mengelip mata, tetapi ia memerlukan persediaan yang rapi dalam diri seseorang bakal pendidik.
Pengalaman Berasaskan Sekolah baru-baru ini memberi saya kesedaran akan hal ini. Mengajar, mendidik dan mengasuh bukanlah suatu rutin pekerjaan semata-mata. Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Teringat saya pada kata-kata seorang murabbi. Mendidik anak-anak itu hakikatnya ialah membawa mereka kepada apa yang dikatakan sebagai ubudiah, pengabdian kepada Allah. Membawa mereka mengenal Allah, mentaatiNYA sepenuh masa. Tidak kiralah mengajar apa jua subjek, mesti membawa mereka mengenal ALLAH. Bukan hanya tertakluk pada ustaz mahupun ustazah semata.
Bila teringatkan hal ini, terasa berat amanah yang dipikul. Tapi, itulah hikmahnya diciptakan manusia ini pelbagai rupa, pelbagai peranan, saling melengkapi untuk mengejar cinta yang SATU. Mendidik, samalah rukunnya seperti rukun usrah..perlukan taaruf untuk mengenali, perlukan tafahum untuk memahami, malah perlukan takaful, untuk mendidik. Tiga rukun ini perlu dihadam lumat dan kemudiaannya diasimilasi dalam proses pendidikan. Mana mungkin seseorang guru itu mampu memimpin anak-anak didiknya sekiranya dia tidak mengenali dan memahami kondisi mereka. Mendidik merupakan satu seni, perlukan pendekatan yang berbeza kepada individu yang berbeza.
Teringat pulak cerita emak...
" Budak-budak, dia akan hormat pada cikgu yang mendidik sebaik-baiknya, yang memahami kondisinya. Tetapi, dia akan benci pada cikgu yang hanya tahu menghukum. Setiap budak-budak yang bermasalah tu sebenarnya ada masalah dari rumahnya, yang perlu kita fahami dan dekati. Tapi, kadang-kadang susah juga kalau nak memahami setiap orang.."
Konklusinya, guru itu perlu FAHAM kondisi muridnya, apa yang membuatkan dia menjadi seorang yang bermasalah. & gurulah yang perlu mencari penawarnya.. Beratkan tanggungjawab guru? Bukan sekadar bekerja makan gaji sahaja. Sebab itu tugas mendidik ni tugas yang mulia. FAHAM..
Bila memerhati suasana sekolah, sememangnya roh mawaddah dan mahabbah tu perlu disebarluaskan.. Mendidik dengan kasih sayang, bukan sekadar menjalankan apa yang termaktub dalam portfolio keguruan sahaja.. KASIH SAYANG.. Melihat guru-guru yang sanggup untuk menjalankan tanggungjawab ibu bapa di sekolah, tersentak naluri saya. Mulianya guru dipandangan murid. Gurulah yang mengajar, gurulah yang memujuk, & gurulah yang membersihkan andai mereka ter*** di dalam kelas.
TANGGUNGJAWAB...asas bagi sesuatu tindakan guru. Dengan rasa tanggungjawablah, guru mendidik tanpa jemu. Dengan rasa tanggungjawablah, guru hadir ke sekolah dengan penuh semangat. Tanggungjawablah yang menjadi kayu ukur kualiti kerja seseorang. PERCAYA atau tidak???
Sebenarnya..banyak perkara lagi yang perlu saya tingkatkan dalam diri. Bukan mudah menjadi guru.. Sabar saya rasanya belum cukup lagi untuk menghadapi kerenah semua pihak dalam sekolah tu. Ilmu saya, belum cukup untuk menghadapi situasi di sekolah tu..Rohani saya pun, rasanya belum cukup-cukup bersedia untuk mengisi hati murid-murid..bagaimana untuk menjadi seorang guru yang setiap perkataan, amalan & diamnya menjadikan murid-muridnya mengingati Allah...atau paling kurang pun, murid-murid itu ingin sekali mendekatinya (guru itu)...bukan utk popularity..tapi untuk ISLAM..
Semua ini saya maktubkan atas pemerhatian saya sepanjang seminggu di sekolah. FAHAM, KASIH SAYANG & TANGGUNGJAWAB.. sekadar perkongsian buat renungan bersama..Kepada bakal-bakal guru seperti saya, cuba kita fikirkan, apa yang perlu kita sediakan untuk diri kita sebelum kita menghadapi anak-anak murid kita nanti.
Sedikit muhasabah, bagaimana untuk kita terapkan konsep ubudiah dalam kalangan anak didik andai diri ini gersang tanpa nafas-nafas tarbiah???


