Pages

Sunday, July 24, 2011

Hari-hariku di SK Sega

Alhamdulillah...
Keizinan dianugerahkan buatku jua sahabat-sahabatku untuk melangkahkan kaki di atas medan juang pentas kehidupan. Melangkah ke SK Sega adalah suatu anugerah buat kami. Mengenali kepelbagaian ciptaan-Nya. Mendekati dan memahami selok-belok masyarakat yang berlapis apatah lagi bersama-sama khalifah kecil di sekitar ini, cukup membuatkan diri ini sedar akan nikmat Allah yang melimpah ruah. Subhanallah.

Misi :: KEM KHALIFAH KECIL :: Tema :: KAMI ANAK SOLEH

Sebagai bakal guru sudah pasti kami sangat bersemangat untuk mengendalikan program ini. Pelbaai kaedah dan teknik diaplikasikan dari set induksi hinggalah kepada penutupan yang menekankan aspek pengukuhan. Saya sendiri sangat kagum dengan kesungguhan sahabat-sahabat. Tiada kerja yang mudah melainkan ia dipikul dan dilaksana bersama. Ketika itu saya merasai kemanisan ukhuwah antara kami. Bersama-sama meredah payah dan merai yang mudah. Yang lebih melengkapkan yang kurang. Yang kurang membantu yang ahli. Yang payah menjadi mudah...alhamdulillah...

Adik-adik ini bukanlah manusia senang yang hidup di bandar. Mereka membesar di kampung, merasai payah kehidupan, tidak seperti anak bandar yang mendapat didikan dan kenikmatan yang sempurna. Saya cuba meletakkan diri saya dalam kehidupan mereka. Penuh sesi muhasabah sepanjang saat saya di sana. Mereka jauh berbeza dengan anak bandar. Mereka sangat bersemangat untuk mengetahui sesuatu. Saya terharu dengan semangat mereka. Berjalan bersama-sama di sekitar kampung pada waktu petang membawa saya untuk berada dalam kehidupan mereka. Sangat mencabar dan menyeronokkan. Teringat pesan abah, "Nak cari suami, cari orang kampung, baru seronok, banyak cerita.." hehe...memang pun, orang putih kata "adventurous"..

Adik kumpulan saya, sudah tidak berbapa ketika usianya baru menjengah angka 9 angkara kanser. Di bawahnya masih ada 4 adik-beradik yang lain. Saya memikirkan bagaimana si ibu tabah mengharungi hidup ini sebagai dirinya ibu dan juga bapa. Bukan mudah. Bagaimana pula adik ini menghadapi kehidupannya tanpa ayah dan pada masa yang sama membantu ibunya menjaga dan mengasuh adik-adik yang lain. Ya Allah, besarnya NikmatMU padaku, masih punya bapa. Moga adik itu kuat Ya Allah menerima ketetapanMU. Moga adik selalu mengirim doa buat bekalan ayah di sana..betullah, hari-hariku adalah sesi muhasabah..Berjalan dan berkelana untuk menimba ilmuNYA Yang Maha Luas.

Perjalanan adalah sumber pengalaman, maka berjalanlah menelusuri ilmu Allah Yang Maha Luas. Hayat adalah peluang untuk kita lebih dekat pada-Nya. Semoga dekat mengundang berkat.

Sunday, July 17, 2011

Sedikit coretan hati buat geng PGPI

Alhamdulillah...

Sekian lama saya menyepi kerana tandusnya minat dan semangat untuk mencoret kisah hidup yang kadang-kala di atas & kadang-kala di bawah. Membuka lembaran baru untuk semester baru cukup mencabar kekuatan fizikal, mental, spiritual dan emosi. Namun, itulah tugas khalifah. Tiada yang mudah melainkan yang susah sebagai pengajaran hidup. Perlu diingat, susah hari ini adalah mudah untuk esok dan akan datang, maka ia wajib ditempuh. Kalau tidak berdaya seorang, carilah jemaah, itulah sumber kekuatan kerana padanya ada barakah dan rahmah.

Nisfu Sya'ban tiba, menggantikan kita dengan buku amalan baru. Semoga lembaran baru ini di isi dengan amal kebaikan yang tidak henti-henti dalam mencari redha Ilahi. Segala yang Allah takdirkan perlu disingkap hikmahnya, maka kita sebagai hamba redhalah dan carilah mardhatillah itu.

3 program berjalan dalam masa 4 minggu ini. Ini bermakna hanya 1 hujung minggu sahaja peluang untuk melepas lelah, itupun telah dicuri oleh program 1 Murid 1 Sukan yang menampilkan ikon bola sepak di maktab kami. Walau bagaimanapun, perlu diakui tarbiah jasadiah juga penting dalam pembentukan seorang kader dakwah. Apa yang saya kesalkan sedikit di sini adalah komitmen berkumpul di padang pada jam 6.30 pagi adalah lebih tinggi daripada komitmen untuk bangun pagi dan solat subuh. Satu perkara yang cukup menyedihkan apabila direnung-renungkan. Betapa manusia itu tunduk pada arahan dan perintah manusia tetapi pada masa yang sama berpaling dari suruhan dan perintah Allah s.w.t. Kadang-kala manusia yang pelupa ini tidak sedar dan mungkin hanyut dek kemajuan dunia, namun perlu diingatkan bahawa kemajuan itu tiada nilai di akhirat nanti andai tiada rahmah dan kasih sayang Allah. Maka, sebagai hamba, hak kepada Allah itu hendaklah ditunaikan terlebih dahulu.

Simposium Nuqaba', Supermuslim & Leadership Camp memberi pengharapan dan sinar baru buat saya. Memang susah dan sukar, namun itu adalah fitrah permulaan dan semasa. Ia menjadi mudah malah indah bila dibuat dan dilaksana bersama. Bersama dengan penuh semangat dan kesungguhan melahirkan perasaan terharu, bersyukur kepada Allah atas nikmatNYA yang Maha Luas, tak ternilai dek akal manusia yang singkat. Semua itu tarbiah. Tarbiah yang membawa diri saya dan sudah pasti kawan-kawan mengenal luasnya ilmu Allah s.w.t., hebatnya kuasa Allah dan dekatnya bantuan Allah pada mereka yang melaksanakan tugas kekasihNYA, Nabi Muhammad s.a.w. dalam menyebarluaskan dakwah.

Memang penuh, malah padat lagi apabila setiap minggu kami disibukkan dengan kerja-kerja ini. Perlu diingat, kerja ini adalah kerja Rasulullah, melaksanakannya perlukan kesungguhan dan keikhlasan. Bukankah telah dinyatakan dalam surah as-Saff ayat 10 & 11 bahawasanya perniagaan yang dapat mengelakkan kita manusia dari azab yang pedih adalah keimanan kepada Allah dan rasulNYA juga jihad dengan segenap harta dan diri??? Maka inilah medannya. Mungkin masalah teknikal dalam pengurusan boleh dijadikan asbab namun, niat yang menjadi tonggak keberkesanan sesuatu program terhadap semua khususnya diri kita sendiri, dari peserta hinggalah kepada pelaksana.

Kadang-kala kita merungut pada kurangnya waktu rehat, papdatnya masa, dan cemburunya kita pada mereka yang senang. Daripada semua itu, lebih elok jika kita tranformasikannya kepada suatu pengharapan agar segala yang kita lakukan ada nilai ibadah, dilihat oleh Allah. Menjadikan segala tidak-tanduk sebagai ibadah takkan sesekali merugikan malah menguatkan lagi kaki untuk melangkah. Percayalah. Niat itu yang mencetuskan hasil. Rungutan boleh diluahkan, tapi gantikanlah ia dengan istighfar dan doa dan anggaplah itu saham kita di akhirat kelak. Allah sentiasa menyediakan ruang buat hambaNYA untuk melakukan kebaikan dalam mendapatkan rahmatNYA. Bukankah untuk melangkah ke syurga itu adalah dengan rahmatNYA? Maka, usahlah kita malu dan segan untuk berbuat baik kerana sibuk dan kalutnya kita itu adalah kerana Allah. Maka mereka di luar sana yang perlu cemburu melihat kita yang sibuk kerana mereka tidak peroleh saham seperti mana yang kita bakal laburkan. Andai semua kerana Allah, segalanya pasti menjadi indah. Cuba bayangkan, apabila semua jawatankuasa pelaksana melaksanakan tugas secara bersungguh lillahi ta'ala pasti kita merasai keizzahan ukhuwah yang Allah anugerahkan, keikhlasan gerak kerja yang Allah berkati, dan kemudahan dalam pengurusan. InsyaAllah, sebenarnya kita mampu untuk semua itu bila kita semua bersatu.

"Ukhuwah kita kerana Allah, Teruskan Perjuangan"...

Monday, June 13, 2011

cuti oh cuti

Cuti memang menyeronokkan,
tetapi hanya pada masa-masa yang tertentu.
Cuti menjadi sesuatu yang sangat didamba
bila hati diselubungi rasa rindu yang memuncak,
rasa letih yang tidak terkata dan
rasa sedih yang melampau.
Tapi bila kita kecapi cuti itu
sebenarnya kita menyedari dengan sendiri
bahawa kita sebenarnya tidak memerlukan rehat yang panjang
kerana kita akan rasa bosan.
Jadi sebaiknya cuti itu kita isi
dengan pelbagai agenda yang menghiburkan
diri, iman, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.

hurm...post pendek..hehe

Thursday, June 2, 2011

Tunas Muda dihatiku

"Adilah, hang dok mai lagi noh SMKAB ni."
"Awat pulak? Kat sini la aku belajaq basic agama. Kat sini la aku kenal usrah. Kat sini la aku kenal cara hidup Islam. Pendek kata, dekat sinilah bermulanya aku yang hari ini."

Alhamdulillah...

Maka selesailah sesi bersama adik-adik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling. Program Tunas Muda 2011 telah menghimpunkan kami bekas pelajar sekolah, Gen9 bersama adik-adik tingkatan 2. Semua ini menyingkap segala memori saya setelah 4 tahun meninggalkan sekolah tersebut.

Tunas Muda menjadi kenangan yang indah lagi bermakna buat saya. Bukan sekadar pengendali, tetapi saya juga pernah menjadi peserta bagi program tersebut. Program pertama yang merangsang kepimpinan dan naluri saya sebagai khalifah di muka bumi Allah. Pendekatan ala-ala askariyyah cukup mencabar jiwa saya. Pendedahan tentang tanggungjawab saya sebagai hamba, anak dan pelajar muslim cukup membina jiwa saya. Itulah saya beberapa tahun yang lalu. Mula menyedari dan selagi boleh, terus menyuburkannya dalam hidup, selagi maut tidak menjemput. Indahnya permulaan, belum tentu menjamin pengakhiran tetapi keindahan di permulaan menjadi titik tolak kepada kebaikan di akhirnya. Syukur alhamdulillah.

Apa yang saya rasa itu, sebolehnya saya terapkan kepada adik-adik pada hari ini. Sekadar termampu. Hati ini seringkali berdoa, moga Allah berikan jalan terbaik buat adik-adik, merahmati dan memberi petunjuk buat adik-adik dalam setiap tingkah laku. Pelajar sekolah agama, sudah pasti menjadi cerminan kepada agama Islam. Tingkah laku menjadi ukuran masyarakat. Penampilan sahaja sudah memberi persepsi pelbagai. Kecemerlangan apatah lagi. Hidup ini penuh amanah yang perlu dilaksanakan. Tiada masa untuk berpangku tangan. Dalam diam perlu ada fikir dan zikir. Berkata-kata perlu ada hikmah dan tazkirah.

Program Tunas Muda menjadi suatu slot muhasabah buat kami sebagai komiti. Setiap detik yang dilalui adalah muhasabah. Kami telah lama meninggalkan sekolah. Mengendalikan program di sekolah mengingatkan kami, adakah attitud kami merupakan attitud yang menepati piawaian sebagai graduan sekolah agama? Kadang-kadang kita hanya menetapkan segalanya di peringkat sekolah semata, walhal, kita perlu ingat Islam itu tidak terhad pada masa dan tempat malah ia relevan dalam segala keadaan. Bukan masa belajar dan di sekolah semata.

Syukur Ya Allah, atas kesempatan yang diberikan. Rahmatilah kami dan ampunkanlah segala dosa-dosa kami. Allahumma amin.

Wednesday, May 25, 2011

Coretan serba-serbi

Assalamualaikum...

Terasa ingin mencoret pengalaman setelah sekian lama bercuti dari dunia blogging. Sengaja mencetak pelbagai alasan untuk tidak update. Ape ke namanye blogger kalau dah malas sangat nak update. Kadang-kadang betul jugak cakap ust hasrizal, bila momentum kita untuk bercakap tu lebih, momentum untuk menulis tu akan berkurangan dan saya pun perasan la betapa banyaknya saya bercakap dalam tempoh percutian saya kali ini. Bercakap, memberi sumbang saran, menjadi juri bagi segala yang berlaku dalam kehidupan seharian. Memerhati dan mentafsir, mencari ilham untuk dibuat pedoman hidup.

Itu memang saya. Saya suka memerhati dan mentafsir. Saya suka melihat manusia dengan pelbagai ragam dan sebolehnya saya akan mentafsir si fulan itu bagaimana dan kenapa dia demikian. Macam ada banyak masa sangat,kan? Memang saya begitu, belajar melalui persekitaran. Melihat perlakuan orang dan diamnya orang itu menjadi muhasabah yang berterusan buat saya. Saya manusia biasa, selalu terlupa. Melihat gelagat manusia, baru teringat.

Melalui fatrah pelbagai pengalaman ini sangat menguji hati saya. Kadang-kadang saya tak rasa saya mampu melakuakn semua itu. Kononnya banyak sungguh la tanggungjawab saya, sedangkan kadang-kadang saya lupa bahawa Allah itu takkan menguji hambaNYA melainkan hambaNYA itu mampu. Susah untuk saya coretkan pengalaman diri dalam fatrah percutian saya. Terasa malu pun ada. Apa pun, hal itu banyak mengajar saya erti hidup sebagai hamba jua khalifahNYA. Memang penting kita berpendirian pada yang haq. Kalau goyah, habislah...

Berurusan dengan manusia yang pelbagai, bekerja dengan manusia yang pelbagai juga. Kita tak boleh rasa kita sempurna sebab kita manusia memang punya kelemahan. Takkan mampu bekerja seorang. Bila bersama, bolehlah kita saling melengkapi pada yang kurang. Saya tidak mahir dalam pengurusan sukan. Tiba-tiba terpaksa menjadi orang kedua bagi pasukan saya. Memang hidup ini untuk belajar. Kawan-kawan yang mahirlah yang banyak membantu, memudahkan segala kesukaran dan meringankan segala bebanan. Mengaplikan konsep wala' dan barra' pada orang yang pertama juga infiniti dalam pelaksanaan, fuh! Memang menguji. Dalam kepadatan masa yang sangat menekan, tetapi hebatkan Allah. Masa yang 24 jam sehari itu, tidak pernah tidak cukup untuk saya laksanakan semua itu. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah atas segala pengalaman yang saya kira begitu bermakna. Memang, bila kita diberi taklifan, kita akan diuji, hingga rasa tidak mampu, tapi Allah bagi kudrat, maka kita perlu buat sehabis baik.

Ada masa, saya rasakan, saya boleh menjadi sekuat-kuatnya. Ada masa, saya rasakan, sayalah insan yang selemah-lemahnya. Bila saya hilang punca, hilang rasa bahagia, jiwa mula sengsara. Ketika itulah saya mula menyedari bahawa saya jauh dariNYA. Saya leka dengan dunia. Allah. Bersyukur padaNYA kerana kesengsaraan itu mengingatkan saya pada kuasaNYA yang tak pernah malap, juga kasih sayangNYA yang tak pernah sirna. PadaNYA dimohon segala kekuatan untuk menghadapi seribu ancaman yang mendatang. KeranaNYA saya hidup dan keranaNYA jugalah saya akan pergi.

Melalui fatrah imtihan...syukur alhamdulillah, segalanya berlalu dengan baik sekali. Tiada apa yang perlu diungkitkan, segalanya membuktikan betapa benarnya niat yang dicipta untuk menuntut ilmu. Betapa bersungguhnya mempersiap diri untuk menjadi murabbiah pada anak-anak seusia setahun jagung. Allah, luruskan jalanku untuk aku menghadapMU dengan segala kebaikan yang menjadi kecintaanMU. Allahu Allah, tidak aku mampu lalui semua itu tanpa izinMU, tidak aku mampu meneruskan langkah ini tanpa kebenaranMU. Tidak aku mampu harungi semua ini, tanpa adanya kudrat yang Engkau pinjamkan kepadaku. Allahu Allah, kurniakanlah padaku kekuatan untuk aku meneruskan hidup yang menuntut jihad ini. Amin.

HIDUP UNTUK MENGECAPI REDHANYA~

Monday, May 2, 2011

"assalamualaikum"
"wa'alaikumussalam" si ibu menjawab penuh gi
rang menerima panggilan dari puterinya yang kejauhan.
"akak di Bangi, mengikuti bengkel penulisan bersama ustaz Hasrizal. Akak bercadang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Boleh ke mak?" si anak bertanya.
"boleh." jawab si ibu penuh rela.

Ibu mana yang sanggup menghalang kehendak anaknya yang penuh hikmah itu. Cuma mungkin risau akan keselamatan bertandang, tapi itu disimpan penuh rapi bagi menyokong semangat si anak pada dunia buku dan pembacaannya.

Sebenarnya terlintas di hati ini mengunjung PBAKL walaupun pada hari terakhir. Syukur alhamdulillah, lintasan hati itu menghantar saya ke sana. Memang ramai namun kepuasan menyelimuti kalbu. Melihat lambakan manusia dan buku membuktikan padaku cintanya manusia pada buku. Lebih seronok bila melihat si tudung labuh dan pemuda berkopiah menguasai pesta tersebut.

Benar kata ustaz, daie itu perlu berilmu. Perlu rajin menyemai ilmu. Andai tandus ilmu di dada masakan dapat menunjuk mad'u. Buku perlu menjadi bahan idaman. Majlis ilmu perlu menjadi port merehatkan minda dan iman. Manis bunyinya, manis juga hasilnya. Seronok menjadi antara insan terpilih untuk mengunjungi PBAKL. Antara booth yang menjadi booth wajib bagi saya sudah pastilah Pustaka Darussalam, lubuk kajian fikrah. Dengan diskaun sehingga 50%, saya mampu membeli 6 buah buku di bawah harga RM50. Beruntung dan rasa puas, memang puas.

Gemar membeli buku, perlu juga menyemai gemar untuk membacanya. Membaca tidak boleh lahir sebagai fitrah, tetapi ianya perlu dipupuk atas fahaman terhadap kepentingannya. Membaca bukan pada yang membuai perasaan mahupun menyeronokkan semata, tetapi juga mestilah kepada yang membuahkan ilmu dan iman. Membaca kunci kepada pengetahuan yang mampu membuah amalan dari kefahaman yang ada panduan. Sebab itulah diturunkan wahyu pertama dalam surah al-alaq (1-5) yang menuntut kita semua umat Muhammad membaca.

Siapa sangka, dalam pembacaan ada ayat-ayat yang mendorong keinsafan. Siapa sangka dalam pembacaan dibuktikan segala kebenaran. Siapa sangka dalam pembacaan ditemui segala hikmah. Itulah tuntutan membaca. Padanya ada seribu satu nikmat. Terpulang pada kita. Namun, semailah kebijaksanaan untuk memilih bahan bacaan. bukan semua boleh mendidik. Merosak juga mampu. Tapi kita kan manusia, dikurnia akal sebagai kelebihan. Sepatutnya lebih bijak memilih dan mengamal. Usah dibiar minda terjajah, menempah susah juga gundah. Biar diri sibuk membaca pada yang membawa faedah. Barulah masa itu menjadi tuaian mahmudah, bekalan ke akhirat. Hasilnya kita mampu menuju mardhatillah, insyaAllah. sebenarnya kita mampu menjaidkan pembacaan sebagai ibadah. Segalanya berbalik pada diri kita. Coraklah ia sebaiknya, moga ia menjadi saham ke syurga..

" membaca untuk mengenali-NYA "

Wednesday, April 20, 2011

SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

FITNAH DUNIA vs IBADAH

Rasulullah bersabda:

“aku tidak tinggalkan apa-apa selepasku yang lebih dahsyat selain daripada orang lelaki yang terpedaya dengan wanita.”

“setiap umat ada fitnah sendiri dan fitnah untuk umatku adalah harta”.

IBADAH manusia boleh terhalang dengan sebab harta dan nafsu. Ramai orang yang hanya memahami ibadah ini sebagai hal-hal yang berkaitan surau, masjid dan perayaan-perayaan Islam sahaja.

IBADAH ialah penghambaan diri terhadap Allah di mana seseorang itu berusaha melakukan setiap yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.

Mengikut Ibn Thabari, ibadah ialah khusyuk dan rendah diri. Ibn Taimiyah pula mengatakan ibadah adalah puncak kehinaan manusia di sisi Allah dan kecintaan kepada Allah s.w.t tidak kira masa dan tempat.

Maka bolehlah kita renungkan di sini sejauh mana tingkah laku kita bernilai ibadah. Kadang-kadang, tanpa sedar, kita sebenarnya tidak cintakan Allah pun, kita hanya ingat sahaja pada Allah. Jadi bagaimana yang dikatakan kecintaan kepada Allah itu?

Cintakan Allah tidak mengira masa juga tempat. Bukan hanya ketika sedih kita dekat dengan Allah. Bukan hanya di balai Islam kita dekat dengan Allah. Walhal, kita perlu merasakan adanya Allah dalam setiap tingkah laku kita. Barulah kita tak melakukan perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Barulah kita kuat menjadikan segala tindakan kita sebagai ibadah kepada-Nya.

Menjadi muslim di sudut ibadah...

Tahukah anda bahawa ibadah itu terbahagi kepada 2???

1. Ibadah khusus

2. Ibadah umum

Ibadah khusus ialah segala yang terkandung di dalam rukun Islam, manakala ibadah umum pula adalah amalan-amalan yang selain dari yang terdapat di dalam rukun Islam. Hal ini sudah pastilah dilakukan demi sebuah cinta kepada Allah, demi sebuah pengabdian kepada Tuhan yang telah banyak menganugerahkan nikmat dalam hidup ini. Siapa kita hendak bongkak???

Sedangkan hidup ini, Allah yang pinjamkan. Wajarkah kita berjalan gah mendongak dagu, menghiina ciptaan sini-sana, berbuat maksiat tanpa malu, sedangkan nafas dan kudrat yang ada itu Allah yang pinjamkan. Fikir-fikirkanlah...

KISAH IBLIS

Seekor jeneral iblis laknatullahu ‘alaihi telah memerintahkan tentera-tenteranya untuk menggoda manusia. Maka bertebaranlah tentera-tenteranya mencari manusia demi melaksanakan janji mereka kepada Allah untuk sentiasa menyesatkan anak-anak Adam…

Selepas suatu tempoh, maka menghadaplah tentera-tentera iblis ini kepada jeneralnya. Dalam ramai-ramai itu, terlihatlah seekor iblis yang sangat gemuk dan seekor iblis yang sangat kurus. Maka bertanyalah jeneral tersebut perihal dua ekor anak buahnya itu. Maka jawab mereka,

Si gemuk : Aku sangat bahagia kerana tuanku langsung tidak mengingati Allah. Tiada kalimah basmalah dalam setiap tindak tanduknya. Makannya, pakainya, junubnya, jauh dari ingatan kepada Allah. Aku sangat gembira.

Si kurus : Aku tertekan dan aku sering dihimpit bacaan basmalah. Tiada ruang untukku mendekatinya.

Demikianlah kisahnya. Seseorang yang memulakan setiap amalnya dengan basmalah, bermakna ia telah

Menjadikan segenap hidupnya sebagai ibadah. Syaitan tidak mampu mendekatinya, apatah lagi menghasutnya. Mereka yang lalai dari mengingati Allah, sudah pasti mudah sekali dihasut syaitan. Hati gundah gulana kerana syaitan menghendap dan mengorat tak kira masa.

Maka rakan-rakan, sama-samalah kita amalkan bacaan basmalah dalam setiap tindakan kita. Nak ke kuliah, baca basmalah, nak ke astaka baca basmalah, hatta nak buang air besar pun ingat Allah. Kita tak rugi kerana di samping dapat kepuasan dan keseronokan, kita mendapat keberkatan di sisi Allah. Tempalah kebaikan di dunia, moga kebaikan juga buat kita di akhirat kelak..^_^

PERKAHWINAN ADALAH IBADAH

Alam perkahwinan penuh dengan keberkatan dan maghfirah (keampunan), kerana sama-sama saling tamping kekurangan. Yang kurang tolong ditambahkan. Yang lebih turut disanjungkan. Itulah yang mengundang barakah. Kalau kahwin kerana cantiknya si dia, bila semakin luntur kecantikan tu, maka hilanglah cinta. Oleh itu, kita perlu bijak menilai cinta,, hinggakan tahap menjadikan perkahwinan sebagai tiket ibadah. Biarlah perkahwinan yang diakadkan itu sebuah perkahwinan yang menyemarakkan lagi rasa untuk mengecapi redha Allah. Biar ia mengundang untung di akhirat kelak. InsyaAllah, amin...

Syarat-syarat ibadah

LILLAHI TA’ALA

Firman Allah:

“mereka itu tidak disuruh melainkan kerana Allah Ta’ala”

SECARA LANGSUNG KEPADA ALLAH

Tidak ada perantara untuk menghubungkannya kepada Allah. Tidak guna bomoh, tangkal, dan sebagainya. Apa-apa urusan, terus sahaja kepada Allah. Meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah.

“kepada Engakaulah kami sembah & kepada Engkaulah kami memohon pertolongan” al-fatihah: 5.

TUNDUK TAAT SEPENUHNYA

Tidak ada tujuan lain melainkan kerana Allah. Sabda Rasulullah, “sebaik-baik amalan iaitu yang berterusan sekalipun sedikit.”

TIADA BATASAN TEMPAT DAN MASA

Kita bukan sekadar mengimarahkan balai Islam semasa bulan Ramadhan sahaja, ia seharusnya berterusan, bukan bermusim. Jadi, dari sekarang lagi kita sepatutnya didik diri kita untuk ke rumah-rumah Allah. Bukankan cirri-cirri penghuni syurga itu pemuda yang dekat hatinya dengan masjid???

MENEPATI SYARAT IBADAH YANG DITUNAIKAN

Contoh : solat sepertimana yang telah diajarkan Rasulullah, mengikut segala rukunnya. Jangan mengubah melainkan adanya rukhsah seperti sakit yang membolehkan kita solat duduk, baring dan sebagainya.

SETIAP perkara yang kita lakukan di dunia ini adalah peluang ibadah kita kepada Allah. Jadi, eloklah kiranya mulai hari ini kita menanam azam untuk mantapkan lagi pembawakan diri kita sebagai seorang muslim. Mantapkan penjagaan aurat, komunikasi kita dengan orang lain, hatta tidur kita sekalipun, kita perbaiki kerana semua benda yang kita buat merupakan satu ibadah kepada Allah..JOM jaga diri, hiasi peribadi!!!

Saturday, March 26, 2011

Ceritera cikgi..

Assalamualaikum...

Episod seorang guru...

Bukan mudah menjadi seorang guru, yang mampu mendidik anak-anak muridnya mengenal Allah, mendekatiNYA, mengingatiNYA, apatah lagi untuk sentiasa beramal untuk mencari redhaNYA. Ia bukan satu proses yang mudah, semudah mengelip mata, tetapi ia memerlukan persediaan yang rapi dalam diri seseorang bakal pendidik.

Pengalaman Berasaskan Sekolah baru-baru ini memberi saya kesedaran akan hal ini. Mengajar, mendidik dan mengasuh bukanlah suatu rutin pekerjaan semata-mata. Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Teringat saya pada kata-kata seorang murabbi. Mendidik anak-anak itu hakikatnya ialah membawa mereka kepada apa yang dikatakan sebagai ubudiah, pengabdian kepada Allah. Membawa mereka mengenal Allah, mentaatiNYA sepenuh masa. Tidak kiralah mengajar apa jua subjek, mesti membawa mereka mengenal ALLAH. Bukan hanya tertakluk pada ustaz mahupun ustazah semata.

Bila teringatkan hal ini, terasa berat amanah yang dipikul. Tapi, itulah hikmahnya diciptakan manusia ini pelbagai rupa, pelbagai peranan, saling melengkapi untuk mengejar cinta yang SATU. Mendidik, samalah rukunnya seperti rukun usrah..perlukan taaruf untuk mengenali, perlukan tafahum untuk memahami, malah perlukan takaful, untuk mendidik. Tiga rukun ini perlu dihadam lumat dan kemudiaannya diasimilasi dalam proses pendidikan. Mana mungkin seseorang guru itu mampu memimpin anak-anak didiknya sekiranya dia tidak mengenali dan memahami kondisi mereka. Mendidik merupakan satu seni, perlukan pendekatan yang berbeza kepada individu yang berbeza.

Teringat pulak cerita emak...

" Budak-budak, dia akan hormat pada cikgu yang mendidik sebaik-baiknya, yang memahami kondisinya. Tetapi, dia akan benci pada cikgu yang hanya tahu menghukum. Setiap budak-budak yang bermasalah tu sebenarnya ada masalah dari rumahnya, yang perlu kita fahami dan dekati. Tapi, kadang-kadang susah juga kalau nak memahami setiap orang.."

Konklusinya, guru itu perlu FAHAM kondisi muridnya, apa yang membuatkan dia menjadi seorang yang bermasalah. & gurulah yang perlu mencari penawarnya.. Beratkan tanggungjawab guru? Bukan sekadar bekerja makan gaji sahaja. Sebab itu tugas mendidik ni tugas yang mulia. FAHAM..

Bila memerhati suasana sekolah, sememangnya roh mawaddah dan mahabbah tu perlu disebarluaskan.. Mendidik dengan kasih sayang, bukan sekadar menjalankan apa yang termaktub dalam portfolio keguruan sahaja.. KASIH SAYANG.. Melihat guru-guru yang sanggup untuk menjalankan tanggungjawab ibu bapa di sekolah, tersentak naluri saya. Mulianya guru dipandangan murid. Gurulah yang mengajar, gurulah yang memujuk, & gurulah yang membersihkan andai mereka ter*** di dalam kelas.

TANGGUNGJAWAB...asas bagi sesuatu tindakan guru. Dengan rasa tanggungjawablah, guru mendidik tanpa jemu. Dengan rasa tanggungjawablah, guru hadir ke sekolah dengan penuh semangat. Tanggungjawablah yang menjadi kayu ukur kualiti kerja seseorang. PERCAYA atau tidak???

Sebenarnya..banyak perkara lagi yang perlu saya tingkatkan dalam diri. Bukan mudah menjadi guru.. Sabar saya rasanya belum cukup lagi untuk menghadapi kerenah semua pihak dalam sekolah tu. Ilmu saya, belum cukup untuk menghadapi situasi di sekolah tu..Rohani saya pun, rasanya belum cukup-cukup bersedia untuk mengisi hati murid-murid..bagaimana untuk menjadi seorang guru yang setiap perkataan, amalan & diamnya menjadikan murid-muridnya mengingati Allah...atau paling kurang pun, murid-murid itu ingin sekali mendekatinya (guru itu)...bukan utk popularity..tapi untuk ISLAM..

Semua ini saya maktubkan atas pemerhatian saya sepanjang seminggu di sekolah. FAHAM, KASIH SAYANG & TANGGUNGJAWAB.. sekadar perkongsian buat renungan bersama..Kepada bakal-bakal guru seperti saya, cuba kita fikirkan, apa yang perlu kita sediakan untuk diri kita sebelum kita menghadapi anak-anak murid kita nanti.

Sedikit muhasabah, bagaimana untuk kita terapkan konsep ubudiah dalam kalangan anak didik andai diri ini gersang tanpa nafas-nafas tarbiah???

Tuesday, March 15, 2011

dilemma..mencintai & dicintai

MENCINTAI & DICINTAI...entahlah..bagi saya ianya fitrah bagi setiap manusia. Perkara ini mungkin jarang sekali kita dengar dalam kalangan kanak-kanak. Tetapi ia familiar pada insan seusia saya, malahan lebih muda lagi dalam kalangan adik-adik di peringkat sekolah menengah lagi. Inilah yang dikatakan fitrah. Semuanya berkehendak pada cinta, sama ada ingin mencintai atau dicintai.

Isu ini hangat dibicarakan pada gender yang offensive yang berlainan casnya. Tetapi, ia bukan terbatas pada skop itu sahaja. Anak kecil juga mempunyai sense untuk mencintai & dicintai. Betapa mereka menagih perhatian dan kasih sayang dari kedua ibu bapa & orang-orang sekeliling. Betapa mereka amat memerlukan kawan sebagai tempat berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Orang tua juga begitu. Mereka tetap memerlukan kasih sayang dan perhatian sekeliling. Di samping itu, mereka juga berkehendak untuk memberi rasa cinta mereka pada insan-insan di sekeliling mereka. Hal ini nyata kelihatan melalui gelagat mereka yang berusia yang ada di sekekliling saya. Betapa ghairahnya golongan ini memberi peringatan kepada golongan muda seperti saya.

Saya sebenarnya kurang berminat untuk membahaskan isu ini. Tetapi saya rasa terpanggil memandangkan saya berada di sekitar isu ini. Tak dinafikan kadang-kadang saya juga punya perasaan tersebut. Perasaan untuk mencintai & dicintai. Pada saya itu adalah naluri yang normal. Cuma, tindak balas kita sahaja yang menetukan samada kita ni sebenarnya normal atau tidak.

Kebanyakan orang berpendapat bahawa normal jika ber'couple'. Hurm...saya berfikir sejenak. Normalkah??? Mengikut pendefinisian mana yang mengatakan demikian??? Normal pada ramainya yang melakukan demikian, tetapi sebenarnya abnormal pada apa yang telah digariskan dalam syariat. Mungkin itu yang sering kita abaikan atau kita sememangnya lupa. Ye, kitakan manusia, mudah sekali lupa & bila teringat dibuat-buat lupa pula..Allah..

Sedarkah kita, bilamana terdetik dalam hati kita akan salahnya perbuatan bercouple itu merupakan suatu suntikan hidayah? Cuba fikirkan kembali... Kejam tak kita bila kita buat-buat lupa akan hal itu, lantas memberi saham kepada nafsu yang didorong oleh syaitan laknatullah untuk mengerasbatukan hati kita??? Alahai kita..manusia biasa..tiada langsung mujahadah, apatah lagi tadhiyah..Allah..

Bila hati mencintai, pasti ingin sekali dicintai. Macamana cintanya ditumpahkan, begitulah juga yang nak di'claim'nya. Ketika itu fokus hati sudah berubah arah. Di bibir meniti ayat, "mencari keberkatan Allah..", tapi yang dicari oleh hati adalah berkat & redha si dia semata. Hati tidak lagi hadir dalam ibadah-ibadah yang ditunaikan. Hati tidak lagi hadir dalam gerak langkah yang membuahkan ibadah. Yang difikir & ditagih hanyalah dia..kehadiran si dia dalam hidup..Allah..

Bukan tidak boleh berperasaan, tapi kita perlu beringat. Kita dikurniakan iman sebagai senjata & yakinlah, semua itu boleh dikawal. Walau bagaimanapun, saya akui, kita memerlukan kekuatan dalam mendepaninya. Kekuatan berlandaskan kefahaman. Tidak hairanlah jika ramai yang terlibat terus terjerat kerana kurangnya faham. Teringat saya pada pesanan seorang murabbi. Bilamana sahabat kita masih mengulanginya, bermakna dia masih belum faham sepenuhnya. Pesanan ini menyentap jiwa saya. Mana tidaknya, mudahnya saya menjatuhkan hukum. Kata murabbi itu lagi, itulah medan dakwah. Bukan sekali bicara tetapi ia adalah proses yang mengambil masa.

Apa pun, kefahaman itu perlu kita kecapi. Yakinlah pada apa yang telah digariskan syariat. Andai buruk kata syariat, maka akuilah, buruknya perbuatan itu. Bukan kita tidak nampak kesan negatifnya, tetapi kadang-kadang kita sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga. Na'uzubillahi min zalik. Carilah insan/sahabat yang mampu mengingatkan. Carilah bahan bacaan yang menguatkan. Carilah DIA Yang Maha Menunjukkan..insyaAllah..

Paksalah diri kita. Jangan dimanjakan hanya untuk keseronokan dunia semata. Jangan dituruti hanya untuk hati yang sebenarnya mati. Sebagai manusia, kita punya potensi diri. Kita mampu mengubah diri menjadi lebih baik. Kita hamba Allah, sentiasa punya peluang untuk berubah. Kita hamba Allah, tak pernah kurang mawaddah. Yakinlah, pada Allah, terdapat nilai kasih sayang yang begitu tinggi & yakinlah, kasih sayangNYA bakal membawa kita ke syurga dunia & akhirat. Dengan kasih sayangNYA lah kita dianugerahkan pasangan hidup yang sepadan dengan kita, dengan kasih sayangNYA lah kita beroleh ibu bapa yang penyayang dan dengan kasih sayangNYA lah kita mengecapi segala jenis kesenangan. Usahlah kita mengundang murkaNYA, kerana balasanNYA akan kembali kepada kita. Dan jangan pula menganggap kesusahan yang dialami sebagai suatu hukuman, terimalah ia sebagai ujian & peringatan dari Tuhan, moga akan datang, hidup kita lebih baik dalam rahmat dan redha-NYA..Amin..

Sekadar peringatan buat renungan bersama. Saya juga risau andai saya teruji dengan tutur bicara sendiri. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar. Moga kita sentiasa beroleh petunjuk dan peringatan dari-NYA.Amin.

Monday, March 14, 2011

...

Tika itu
aku sendirian
menghitung salah diri
salah pada langkah yang diorak
salah pada tutur yang diluah
salah pada niat yang terikat

Tika itulah mereka hadir
hadir memberi jawapan bagi segala persoalan
jawapan kepada segala perhitungan
Allah..
besarnya Rahman dan Rahim-Mu..
alhamdulillah..

uhibbukum fillah..
Baarakallahufikum!