Pages

Monday, May 2, 2011

"assalamualaikum"
"wa'alaikumussalam" si ibu menjawab penuh gi
rang menerima panggilan dari puterinya yang kejauhan.
"akak di Bangi, mengikuti bengkel penulisan bersama ustaz Hasrizal. Akak bercadang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Boleh ke mak?" si anak bertanya.
"boleh." jawab si ibu penuh rela.

Ibu mana yang sanggup menghalang kehendak anaknya yang penuh hikmah itu. Cuma mungkin risau akan keselamatan bertandang, tapi itu disimpan penuh rapi bagi menyokong semangat si anak pada dunia buku dan pembacaannya.

Sebenarnya terlintas di hati ini mengunjung PBAKL walaupun pada hari terakhir. Syukur alhamdulillah, lintasan hati itu menghantar saya ke sana. Memang ramai namun kepuasan menyelimuti kalbu. Melihat lambakan manusia dan buku membuktikan padaku cintanya manusia pada buku. Lebih seronok bila melihat si tudung labuh dan pemuda berkopiah menguasai pesta tersebut.

Benar kata ustaz, daie itu perlu berilmu. Perlu rajin menyemai ilmu. Andai tandus ilmu di dada masakan dapat menunjuk mad'u. Buku perlu menjadi bahan idaman. Majlis ilmu perlu menjadi port merehatkan minda dan iman. Manis bunyinya, manis juga hasilnya. Seronok menjadi antara insan terpilih untuk mengunjungi PBAKL. Antara booth yang menjadi booth wajib bagi saya sudah pastilah Pustaka Darussalam, lubuk kajian fikrah. Dengan diskaun sehingga 50%, saya mampu membeli 6 buah buku di bawah harga RM50. Beruntung dan rasa puas, memang puas.

Gemar membeli buku, perlu juga menyemai gemar untuk membacanya. Membaca tidak boleh lahir sebagai fitrah, tetapi ianya perlu dipupuk atas fahaman terhadap kepentingannya. Membaca bukan pada yang membuai perasaan mahupun menyeronokkan semata, tetapi juga mestilah kepada yang membuahkan ilmu dan iman. Membaca kunci kepada pengetahuan yang mampu membuah amalan dari kefahaman yang ada panduan. Sebab itulah diturunkan wahyu pertama dalam surah al-alaq (1-5) yang menuntut kita semua umat Muhammad membaca.

Siapa sangka, dalam pembacaan ada ayat-ayat yang mendorong keinsafan. Siapa sangka dalam pembacaan dibuktikan segala kebenaran. Siapa sangka dalam pembacaan ditemui segala hikmah. Itulah tuntutan membaca. Padanya ada seribu satu nikmat. Terpulang pada kita. Namun, semailah kebijaksanaan untuk memilih bahan bacaan. bukan semua boleh mendidik. Merosak juga mampu. Tapi kita kan manusia, dikurnia akal sebagai kelebihan. Sepatutnya lebih bijak memilih dan mengamal. Usah dibiar minda terjajah, menempah susah juga gundah. Biar diri sibuk membaca pada yang membawa faedah. Barulah masa itu menjadi tuaian mahmudah, bekalan ke akhirat. Hasilnya kita mampu menuju mardhatillah, insyaAllah. sebenarnya kita mampu menjaidkan pembacaan sebagai ibadah. Segalanya berbalik pada diri kita. Coraklah ia sebaiknya, moga ia menjadi saham ke syurga..

" membaca untuk mengenali-NYA "

Wednesday, April 20, 2011

SAYA MESTILAH MUSLIM DI SUDUT IBADAH

FITNAH DUNIA vs IBADAH

Rasulullah bersabda:

“aku tidak tinggalkan apa-apa selepasku yang lebih dahsyat selain daripada orang lelaki yang terpedaya dengan wanita.”

“setiap umat ada fitnah sendiri dan fitnah untuk umatku adalah harta”.

IBADAH manusia boleh terhalang dengan sebab harta dan nafsu. Ramai orang yang hanya memahami ibadah ini sebagai hal-hal yang berkaitan surau, masjid dan perayaan-perayaan Islam sahaja.

IBADAH ialah penghambaan diri terhadap Allah di mana seseorang itu berusaha melakukan setiap yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.

Mengikut Ibn Thabari, ibadah ialah khusyuk dan rendah diri. Ibn Taimiyah pula mengatakan ibadah adalah puncak kehinaan manusia di sisi Allah dan kecintaan kepada Allah s.w.t tidak kira masa dan tempat.

Maka bolehlah kita renungkan di sini sejauh mana tingkah laku kita bernilai ibadah. Kadang-kadang, tanpa sedar, kita sebenarnya tidak cintakan Allah pun, kita hanya ingat sahaja pada Allah. Jadi bagaimana yang dikatakan kecintaan kepada Allah itu?

Cintakan Allah tidak mengira masa juga tempat. Bukan hanya ketika sedih kita dekat dengan Allah. Bukan hanya di balai Islam kita dekat dengan Allah. Walhal, kita perlu merasakan adanya Allah dalam setiap tingkah laku kita. Barulah kita tak melakukan perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Barulah kita kuat menjadikan segala tindakan kita sebagai ibadah kepada-Nya.

Menjadi muslim di sudut ibadah...

Tahukah anda bahawa ibadah itu terbahagi kepada 2???

1. Ibadah khusus

2. Ibadah umum

Ibadah khusus ialah segala yang terkandung di dalam rukun Islam, manakala ibadah umum pula adalah amalan-amalan yang selain dari yang terdapat di dalam rukun Islam. Hal ini sudah pastilah dilakukan demi sebuah cinta kepada Allah, demi sebuah pengabdian kepada Tuhan yang telah banyak menganugerahkan nikmat dalam hidup ini. Siapa kita hendak bongkak???

Sedangkan hidup ini, Allah yang pinjamkan. Wajarkah kita berjalan gah mendongak dagu, menghiina ciptaan sini-sana, berbuat maksiat tanpa malu, sedangkan nafas dan kudrat yang ada itu Allah yang pinjamkan. Fikir-fikirkanlah...

KISAH IBLIS

Seekor jeneral iblis laknatullahu ‘alaihi telah memerintahkan tentera-tenteranya untuk menggoda manusia. Maka bertebaranlah tentera-tenteranya mencari manusia demi melaksanakan janji mereka kepada Allah untuk sentiasa menyesatkan anak-anak Adam…

Selepas suatu tempoh, maka menghadaplah tentera-tentera iblis ini kepada jeneralnya. Dalam ramai-ramai itu, terlihatlah seekor iblis yang sangat gemuk dan seekor iblis yang sangat kurus. Maka bertanyalah jeneral tersebut perihal dua ekor anak buahnya itu. Maka jawab mereka,

Si gemuk : Aku sangat bahagia kerana tuanku langsung tidak mengingati Allah. Tiada kalimah basmalah dalam setiap tindak tanduknya. Makannya, pakainya, junubnya, jauh dari ingatan kepada Allah. Aku sangat gembira.

Si kurus : Aku tertekan dan aku sering dihimpit bacaan basmalah. Tiada ruang untukku mendekatinya.

Demikianlah kisahnya. Seseorang yang memulakan setiap amalnya dengan basmalah, bermakna ia telah

Menjadikan segenap hidupnya sebagai ibadah. Syaitan tidak mampu mendekatinya, apatah lagi menghasutnya. Mereka yang lalai dari mengingati Allah, sudah pasti mudah sekali dihasut syaitan. Hati gundah gulana kerana syaitan menghendap dan mengorat tak kira masa.

Maka rakan-rakan, sama-samalah kita amalkan bacaan basmalah dalam setiap tindakan kita. Nak ke kuliah, baca basmalah, nak ke astaka baca basmalah, hatta nak buang air besar pun ingat Allah. Kita tak rugi kerana di samping dapat kepuasan dan keseronokan, kita mendapat keberkatan di sisi Allah. Tempalah kebaikan di dunia, moga kebaikan juga buat kita di akhirat kelak..^_^

PERKAHWINAN ADALAH IBADAH

Alam perkahwinan penuh dengan keberkatan dan maghfirah (keampunan), kerana sama-sama saling tamping kekurangan. Yang kurang tolong ditambahkan. Yang lebih turut disanjungkan. Itulah yang mengundang barakah. Kalau kahwin kerana cantiknya si dia, bila semakin luntur kecantikan tu, maka hilanglah cinta. Oleh itu, kita perlu bijak menilai cinta,, hinggakan tahap menjadikan perkahwinan sebagai tiket ibadah. Biarlah perkahwinan yang diakadkan itu sebuah perkahwinan yang menyemarakkan lagi rasa untuk mengecapi redha Allah. Biar ia mengundang untung di akhirat kelak. InsyaAllah, amin...

Syarat-syarat ibadah

LILLAHI TA’ALA

Firman Allah:

“mereka itu tidak disuruh melainkan kerana Allah Ta’ala”

SECARA LANGSUNG KEPADA ALLAH

Tidak ada perantara untuk menghubungkannya kepada Allah. Tidak guna bomoh, tangkal, dan sebagainya. Apa-apa urusan, terus sahaja kepada Allah. Meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah.

“kepada Engakaulah kami sembah & kepada Engkaulah kami memohon pertolongan” al-fatihah: 5.

TUNDUK TAAT SEPENUHNYA

Tidak ada tujuan lain melainkan kerana Allah. Sabda Rasulullah, “sebaik-baik amalan iaitu yang berterusan sekalipun sedikit.”

TIADA BATASAN TEMPAT DAN MASA

Kita bukan sekadar mengimarahkan balai Islam semasa bulan Ramadhan sahaja, ia seharusnya berterusan, bukan bermusim. Jadi, dari sekarang lagi kita sepatutnya didik diri kita untuk ke rumah-rumah Allah. Bukankan cirri-cirri penghuni syurga itu pemuda yang dekat hatinya dengan masjid???

MENEPATI SYARAT IBADAH YANG DITUNAIKAN

Contoh : solat sepertimana yang telah diajarkan Rasulullah, mengikut segala rukunnya. Jangan mengubah melainkan adanya rukhsah seperti sakit yang membolehkan kita solat duduk, baring dan sebagainya.

SETIAP perkara yang kita lakukan di dunia ini adalah peluang ibadah kita kepada Allah. Jadi, eloklah kiranya mulai hari ini kita menanam azam untuk mantapkan lagi pembawakan diri kita sebagai seorang muslim. Mantapkan penjagaan aurat, komunikasi kita dengan orang lain, hatta tidur kita sekalipun, kita perbaiki kerana semua benda yang kita buat merupakan satu ibadah kepada Allah..JOM jaga diri, hiasi peribadi!!!

Saturday, March 26, 2011

Ceritera cikgi..

Assalamualaikum...

Episod seorang guru...

Bukan mudah menjadi seorang guru, yang mampu mendidik anak-anak muridnya mengenal Allah, mendekatiNYA, mengingatiNYA, apatah lagi untuk sentiasa beramal untuk mencari redhaNYA. Ia bukan satu proses yang mudah, semudah mengelip mata, tetapi ia memerlukan persediaan yang rapi dalam diri seseorang bakal pendidik.

Pengalaman Berasaskan Sekolah baru-baru ini memberi saya kesedaran akan hal ini. Mengajar, mendidik dan mengasuh bukanlah suatu rutin pekerjaan semata-mata. Ia merupakan suatu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Teringat saya pada kata-kata seorang murabbi. Mendidik anak-anak itu hakikatnya ialah membawa mereka kepada apa yang dikatakan sebagai ubudiah, pengabdian kepada Allah. Membawa mereka mengenal Allah, mentaatiNYA sepenuh masa. Tidak kiralah mengajar apa jua subjek, mesti membawa mereka mengenal ALLAH. Bukan hanya tertakluk pada ustaz mahupun ustazah semata.

Bila teringatkan hal ini, terasa berat amanah yang dipikul. Tapi, itulah hikmahnya diciptakan manusia ini pelbagai rupa, pelbagai peranan, saling melengkapi untuk mengejar cinta yang SATU. Mendidik, samalah rukunnya seperti rukun usrah..perlukan taaruf untuk mengenali, perlukan tafahum untuk memahami, malah perlukan takaful, untuk mendidik. Tiga rukun ini perlu dihadam lumat dan kemudiaannya diasimilasi dalam proses pendidikan. Mana mungkin seseorang guru itu mampu memimpin anak-anak didiknya sekiranya dia tidak mengenali dan memahami kondisi mereka. Mendidik merupakan satu seni, perlukan pendekatan yang berbeza kepada individu yang berbeza.

Teringat pulak cerita emak...

" Budak-budak, dia akan hormat pada cikgu yang mendidik sebaik-baiknya, yang memahami kondisinya. Tetapi, dia akan benci pada cikgu yang hanya tahu menghukum. Setiap budak-budak yang bermasalah tu sebenarnya ada masalah dari rumahnya, yang perlu kita fahami dan dekati. Tapi, kadang-kadang susah juga kalau nak memahami setiap orang.."

Konklusinya, guru itu perlu FAHAM kondisi muridnya, apa yang membuatkan dia menjadi seorang yang bermasalah. & gurulah yang perlu mencari penawarnya.. Beratkan tanggungjawab guru? Bukan sekadar bekerja makan gaji sahaja. Sebab itu tugas mendidik ni tugas yang mulia. FAHAM..

Bila memerhati suasana sekolah, sememangnya roh mawaddah dan mahabbah tu perlu disebarluaskan.. Mendidik dengan kasih sayang, bukan sekadar menjalankan apa yang termaktub dalam portfolio keguruan sahaja.. KASIH SAYANG.. Melihat guru-guru yang sanggup untuk menjalankan tanggungjawab ibu bapa di sekolah, tersentak naluri saya. Mulianya guru dipandangan murid. Gurulah yang mengajar, gurulah yang memujuk, & gurulah yang membersihkan andai mereka ter*** di dalam kelas.

TANGGUNGJAWAB...asas bagi sesuatu tindakan guru. Dengan rasa tanggungjawablah, guru mendidik tanpa jemu. Dengan rasa tanggungjawablah, guru hadir ke sekolah dengan penuh semangat. Tanggungjawablah yang menjadi kayu ukur kualiti kerja seseorang. PERCAYA atau tidak???

Sebenarnya..banyak perkara lagi yang perlu saya tingkatkan dalam diri. Bukan mudah menjadi guru.. Sabar saya rasanya belum cukup lagi untuk menghadapi kerenah semua pihak dalam sekolah tu. Ilmu saya, belum cukup untuk menghadapi situasi di sekolah tu..Rohani saya pun, rasanya belum cukup-cukup bersedia untuk mengisi hati murid-murid..bagaimana untuk menjadi seorang guru yang setiap perkataan, amalan & diamnya menjadikan murid-muridnya mengingati Allah...atau paling kurang pun, murid-murid itu ingin sekali mendekatinya (guru itu)...bukan utk popularity..tapi untuk ISLAM..

Semua ini saya maktubkan atas pemerhatian saya sepanjang seminggu di sekolah. FAHAM, KASIH SAYANG & TANGGUNGJAWAB.. sekadar perkongsian buat renungan bersama..Kepada bakal-bakal guru seperti saya, cuba kita fikirkan, apa yang perlu kita sediakan untuk diri kita sebelum kita menghadapi anak-anak murid kita nanti.

Sedikit muhasabah, bagaimana untuk kita terapkan konsep ubudiah dalam kalangan anak didik andai diri ini gersang tanpa nafas-nafas tarbiah???

Tuesday, March 15, 2011

dilemma..mencintai & dicintai

MENCINTAI & DICINTAI...entahlah..bagi saya ianya fitrah bagi setiap manusia. Perkara ini mungkin jarang sekali kita dengar dalam kalangan kanak-kanak. Tetapi ia familiar pada insan seusia saya, malahan lebih muda lagi dalam kalangan adik-adik di peringkat sekolah menengah lagi. Inilah yang dikatakan fitrah. Semuanya berkehendak pada cinta, sama ada ingin mencintai atau dicintai.

Isu ini hangat dibicarakan pada gender yang offensive yang berlainan casnya. Tetapi, ia bukan terbatas pada skop itu sahaja. Anak kecil juga mempunyai sense untuk mencintai & dicintai. Betapa mereka menagih perhatian dan kasih sayang dari kedua ibu bapa & orang-orang sekeliling. Betapa mereka amat memerlukan kawan sebagai tempat berkongsi kegembiraan dan kesedihan. Orang tua juga begitu. Mereka tetap memerlukan kasih sayang dan perhatian sekeliling. Di samping itu, mereka juga berkehendak untuk memberi rasa cinta mereka pada insan-insan di sekeliling mereka. Hal ini nyata kelihatan melalui gelagat mereka yang berusia yang ada di sekekliling saya. Betapa ghairahnya golongan ini memberi peringatan kepada golongan muda seperti saya.

Saya sebenarnya kurang berminat untuk membahaskan isu ini. Tetapi saya rasa terpanggil memandangkan saya berada di sekitar isu ini. Tak dinafikan kadang-kadang saya juga punya perasaan tersebut. Perasaan untuk mencintai & dicintai. Pada saya itu adalah naluri yang normal. Cuma, tindak balas kita sahaja yang menetukan samada kita ni sebenarnya normal atau tidak.

Kebanyakan orang berpendapat bahawa normal jika ber'couple'. Hurm...saya berfikir sejenak. Normalkah??? Mengikut pendefinisian mana yang mengatakan demikian??? Normal pada ramainya yang melakukan demikian, tetapi sebenarnya abnormal pada apa yang telah digariskan dalam syariat. Mungkin itu yang sering kita abaikan atau kita sememangnya lupa. Ye, kitakan manusia, mudah sekali lupa & bila teringat dibuat-buat lupa pula..Allah..

Sedarkah kita, bilamana terdetik dalam hati kita akan salahnya perbuatan bercouple itu merupakan suatu suntikan hidayah? Cuba fikirkan kembali... Kejam tak kita bila kita buat-buat lupa akan hal itu, lantas memberi saham kepada nafsu yang didorong oleh syaitan laknatullah untuk mengerasbatukan hati kita??? Alahai kita..manusia biasa..tiada langsung mujahadah, apatah lagi tadhiyah..Allah..

Bila hati mencintai, pasti ingin sekali dicintai. Macamana cintanya ditumpahkan, begitulah juga yang nak di'claim'nya. Ketika itu fokus hati sudah berubah arah. Di bibir meniti ayat, "mencari keberkatan Allah..", tapi yang dicari oleh hati adalah berkat & redha si dia semata. Hati tidak lagi hadir dalam ibadah-ibadah yang ditunaikan. Hati tidak lagi hadir dalam gerak langkah yang membuahkan ibadah. Yang difikir & ditagih hanyalah dia..kehadiran si dia dalam hidup..Allah..

Bukan tidak boleh berperasaan, tapi kita perlu beringat. Kita dikurniakan iman sebagai senjata & yakinlah, semua itu boleh dikawal. Walau bagaimanapun, saya akui, kita memerlukan kekuatan dalam mendepaninya. Kekuatan berlandaskan kefahaman. Tidak hairanlah jika ramai yang terlibat terus terjerat kerana kurangnya faham. Teringat saya pada pesanan seorang murabbi. Bilamana sahabat kita masih mengulanginya, bermakna dia masih belum faham sepenuhnya. Pesanan ini menyentap jiwa saya. Mana tidaknya, mudahnya saya menjatuhkan hukum. Kata murabbi itu lagi, itulah medan dakwah. Bukan sekali bicara tetapi ia adalah proses yang mengambil masa.

Apa pun, kefahaman itu perlu kita kecapi. Yakinlah pada apa yang telah digariskan syariat. Andai buruk kata syariat, maka akuilah, buruknya perbuatan itu. Bukan kita tidak nampak kesan negatifnya, tetapi kadang-kadang kita sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga. Na'uzubillahi min zalik. Carilah insan/sahabat yang mampu mengingatkan. Carilah bahan bacaan yang menguatkan. Carilah DIA Yang Maha Menunjukkan..insyaAllah..

Paksalah diri kita. Jangan dimanjakan hanya untuk keseronokan dunia semata. Jangan dituruti hanya untuk hati yang sebenarnya mati. Sebagai manusia, kita punya potensi diri. Kita mampu mengubah diri menjadi lebih baik. Kita hamba Allah, sentiasa punya peluang untuk berubah. Kita hamba Allah, tak pernah kurang mawaddah. Yakinlah, pada Allah, terdapat nilai kasih sayang yang begitu tinggi & yakinlah, kasih sayangNYA bakal membawa kita ke syurga dunia & akhirat. Dengan kasih sayangNYA lah kita dianugerahkan pasangan hidup yang sepadan dengan kita, dengan kasih sayangNYA lah kita beroleh ibu bapa yang penyayang dan dengan kasih sayangNYA lah kita mengecapi segala jenis kesenangan. Usahlah kita mengundang murkaNYA, kerana balasanNYA akan kembali kepada kita. Dan jangan pula menganggap kesusahan yang dialami sebagai suatu hukuman, terimalah ia sebagai ujian & peringatan dari Tuhan, moga akan datang, hidup kita lebih baik dalam rahmat dan redha-NYA..Amin..

Sekadar peringatan buat renungan bersama. Saya juga risau andai saya teruji dengan tutur bicara sendiri. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk sentiasa berada di atas landasan yang benar. Moga kita sentiasa beroleh petunjuk dan peringatan dari-NYA.Amin.

Monday, March 14, 2011

...

Tika itu
aku sendirian
menghitung salah diri
salah pada langkah yang diorak
salah pada tutur yang diluah
salah pada niat yang terikat

Tika itulah mereka hadir
hadir memberi jawapan bagi segala persoalan
jawapan kepada segala perhitungan
Allah..
besarnya Rahman dan Rahim-Mu..
alhamdulillah..

uhibbukum fillah..
Baarakallahufikum!

Thursday, February 24, 2011

saya & kehidupan...

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekian lama saya mencari ruang untuk menutur di atas papan kekunci. Alhamdulillah, inilah masanya. Setelah sekian lama menahan segala perkara yang ingin dicurahkan buat perkongsian, renungan dan pandangan bersama. Saya orangnya yang jenis meluahkan segala yang terbuku di dada. Saya tidak pandai memendam dan tidak pula pandai menyimpan segala isi hati dan perasaan saya. Bukan kerana apa, kerana itulah. Mungkin saya tidak pandai merasionalkan sesuatu sendiri, ta;i, insan faqirah seperti saya masih perlukan bimbingan dan rasional orang yang lebih ahli agar segalanya teratur dan tidak menyesakkan.

Rasa malu mengakui diri ini sibuk & exhausted. Tapi itulah apa yang saya rasa sejak kebelakangan ini. Tugasan yang minimbun, yang memaksa saya bersengkang mata setiap malam. Tugasan teknikal yang juga mengerah saya membelek-beleknya dengan ulitan mesyuarat dan tindakan. Kadang-kadang saya dirasuk rasa ragu terhadap komitmen saya pada core-business saya yang sedia ada. Tetapi, sebolehnya, saya duduk diam-diam, merasionalkan pemikiran, positifkan minda, bahawa setiap sesuatu itu pasti aada penyelesaiannya & sudah pasti, Allah takkan membebankan seseorang itu selagi hambaNya itu mampu menghadapinya. Ya..saya perlu yakin itu..

Pada saat inilah, hati mula teruji. Diri merasakan kurangnya masa yang diluangkan dengan sahabat-sahabat. Hati merasa kian jauh. Entahlah..merekakah yang jauh, atau saya yang menjauhkan. Jarang berjumpa apatah lagi bertegur. Status-status di fb menunjukkan kekecewaan kepada sebuah ikatan. Namun, hakikatnya, merekalah orang yang mendoakan diri ini kuat dan tsabat. Merekalah orangnya yang seringkali merindui kehadiran diri ini. Merekalah orangnya yang sebenar-benarnya memahami setiap langkah & bicara diri ini. Saya mengajar diri saya untuk berbaik sangka. Ya, teori ini benar. Bila saya mampu bertegur sapa apatah lagi bersama mereka, saya merasai mahabbah yang kami pupuk. Saya merasai simpati dan empatinya seorang sahabat terhadap komitmen masing-masing. Subhanallah..indahnya aturan-Mu, ya Allah. Konklusinya, saya memang mesti yakin pada ukhuwah ini. Ukhuwah ini adalah anugerah, bukan musibah. Maka, perlu saya hiasinya dengan mahabbah dan mawaddah.

Menghadapi pelbagai ragam manusia, kadang-kadang menambah juga tekanan pada diri saya. Mungkin kerana ia bertentangan dengan cara dan pembawakan saya. Tapi, bukankah ragam manusia yang pelbagai itu merupakan suatu tarbiyah buat diri ini? Ia menguji siasah saya. Sejauh mana saya memanfaatkan orang yang pelbagai ragam itu dalam usaha saya mencari peluang untuk menyentuh hati dan mengubah persepsi mereka kepada Golongan Bertudung Labuh atau selalunya kami gelarkan GTL??? Ye..itu yang saya sedang cuba telusuri dan terokai. Menjadikan persekitaran sebagai peluang untuk berbuat amal kebajikan. Merapati mereka yang pelbagai itu dan belajar melalui mereka segala rencah kehidupan serta sama-sama menuju matlamat yang satu untuk mencari redha Allah.

Tapi bagaimana pula jika yang di sekitar komitmen kita itu adalah yang offensive di sudut jantina. Timbul isu ikhtilat dan masalah hati. tapi, bolehkah sekiranya saya katakan di sini bahawa itu adalah fitrah kehidupan? Dalam apa jua situasi terutamanya berorganisasi ( tak kiralah, hubungan dalam organisasi rumah sukan, persatuan-persatuan, mahupun mungkin rakan sejawat @ sekelas..), perhubungan itu tidak dapat dihalang. TAPI!!! Kita punya pelbagai wasilah untuk menghadapinya. Menjaga hati sekuat-kuatnya dan memberi sepenuh fokus
kepada amanah yang dipertanggungjawabkan. Kadang-kadang, saya cukup risau jika ada yang menyeleweng. Menjadikan segala pekerjaan yang boleh membawa pulangan pahala sia-sia dek tiadanya keberkatan dalam pekerjaan. Risau, belenggu 'matlamat menghalalkan cara' menyelinap dalam gerakerja yang dilaksanakan.

Apa pun, saya mempunyai pendirian dalam isu ini. Tetapkan hati dan set niat bilamana taklifan telah diterima. Berusahalah sebaik mungkin untuk menjadikan taklifan itu bernilai ibadah, yang dapat memberi banyak pulangan ganjaran di sisi Allah melalui keikhlasan dan amanah. Menjauhi unsur-unsur yang dapat merosakkan hati, yang mungkin bakal memalingkan hati dari hadaf yang sebenar seterusnya mendatangkan mudarat dalam gerakerja yang dilaksanakan.

Namun, saya masih perlukan bimbingan dan peringatan. Tiada yang sempurna dalam pelaksanaan tapi, saya tahu, saya berhak ke arah itu. Dengan adanya sahabat-sahabat di sisi, saya menagih hak untuk dinasihati, dan diingatkan dalam setiap kelakuan. Moga itu menjadi jambatan untuk kita sama-sama berjalan di syurga hakiki..Pada masa itulah mereka yang berjiwa tenang itu menghadap Ilahi, pulang kepada-NYA dalam keadaan meredhai dan diredhai. Maka masuklah mereka yang tenang itu ke dalamnya (syurga) selama-lamanya..
Allahumma aamin..

Sunday, February 20, 2011

Duhai hati...

Kenapa hati rasa tak senang?
Kerana diri atau orang lain?
Mungkinkan kerana diri yang gagal berbaik sangka?
atau orang lain yang menaruh amarah?

Hakikatnya..
bila hati tidak tenang,
bermakna jiwa tidak bersih
sesuatu yang bertentangan dengan fitrah diri
sedang menyelinap dalam kalbu

Mungkin diri ini yang berlaku silap
Sudah pasti silapnya pada hati
Mungkin juga hati ini jauh dari Tuhan
Maka yang terisi adalah syahwat semata
Hati yang sering terpandu
sedang memberontak!

benarlah...
iman manusia itu ada turun naiknya

Ingatlah pada hak hatimu
ia perlukan muhasabah
ia perlukan rawatan
ia perlukan terapi
bersihkanlah hatimu dengan alunan zikir taubat..

nafsu yang menderu
takkan sesekali berdiam
tapi, pada dirimu ada iman
kuatkanlah, serlahkan keimananmu
biar nafsu itu mati
biar dirimu merasai
apa itu kemanisan iman yang menyuburi
Biar dirimu tenang bersama Ilahi
Mendekati redha Ilahi
Menuju syurgawi.

Allah..Allah..Allah..

Monday, February 14, 2011

kagum dengannya...

12 Rabiul Awwal sudah menjadi tanggal bermakna buat seluruh umat Islam. Pada tanggal inilah lahirnya Rasulullah yang menyinari dunia kejahilan dengan kebenaran. Bagindalah pembawa risalah sebagai petunjuk buat manusia bergelar hamba. Bagindalah yang menyelamatkan aqidah kita dari terseleweng. Utusan Allah inilah yang memberi seribu satu qudwah buat diri ini.

Kala jari ini meniti di atas papan kekunci, sebenarnya jiwa ini sedang resah, sedih & lemah. Rasa malu pada Rasulullah. Layakkah aku menjadi umatnya andai sering & mudah sahaja merasa lemah. Aku mula menyelak lembaran perjuangan baginda yang penuh onak & duri. Tiada yang mudah yang telah baginda lalui.

Baginda pernah dicela, diugut bunuh, dibaling batu, difitnah, dicaci, malah dibenci. Namun, insan kamil pilihan Allah ini negitu kuat menegakkan kebenaran. Insan kamil ini tegar melaksana amanah. Baginda yakin dengan janji-janji Allah yang benar. Baginda yakin pada bantuan Allah. Itulah Rasulullah.

Moga aku beroleh kekuatan. Aku memohon kekuatan iman untuk menghadapi segala perasaan & tindakan yang mengikis semangat jihadku. Moga dengan itu bertambah-tambah kecintaanku pada-NYA dan kekasih-NYA. amin.

Allahumma solli ala muhammad, wa'ala aalihi wasahbihi wasallim..

Cetusan HATI Naqibah

Alhamdulillah...kadang-kadang saya sendiri keliru pada core-business gerakan usrah di IPG kampus... Huhu..terasa seperti melebihkan aspek pemakanan mengatasi pengisian. Apa pun, niat di hati, biarlah warga IPG kampus kita merasai kemanisan tarbiyah. Bukan sekadar pengisian ilmiah, tapi juga tautan ukhuwah yang padu kerana Allah yang Satu.

Memanglah, bekerja di jalan Allah ini bukan mudah. Tetapi, bila dilaksana secara bersepadu, saling membantu, yang susah pasti menjadi mudah. Syukran pada para nuqaba' yang terus menguatkan iltizam memimpin ahli usrah masing-masing. Syukur juga kerana adanya tenaga dalam kalangan sahabat-sahabat lain yang bersungguh-sungguh memastikan agenda usrah kita berjaya.

Subhanallah..kadang-kadang kita rasa urusan kita payah, tapi, bila kita hadapinya dengan sabar & penuh keyakinan, kita merasai kemudahan yang Allah anugerahkan itu..

Buat kerja-kerja Islam ni memang menuntut kita supaya meletak kepercayaan & keyakinan yang tinggi bahawa Allah itu ada bersama. Ye..Allah akan bantu, insyaAllah. Kalau tidak dikabulkan, pasti ada sesuatu yang perlu kita perbaiki & kita kena ingat kadang-kadang yang dirasakan baik bg kita adalah sebenarnya tidak baik, manakala yang dirasakan tidak baik itulah sebaik-baik perkara buat kita.

Setiap percaturan Allah itu pasti ada hikmahnya. Kita yang hidup di muka bumiNYA & menggalas amanah dariNYA perlulah berusaha bersungguh-sungguh. Jadikan setiap genap amanah yang dipikul sebagai ruang dan peluang untuk meraih keberkatan dalam hidup.

Jadikan taklifan naqib/ah sebagai pemangkin untuk kita menambah baik kualiti diri ke arah menjadi hamba-NYA yang soleh, serta guru yang Rabbani (membawa anak-anak didik kembali kepada Allah). InsyaAllah..Allahumma Aamin..

Monday, February 7, 2011

...

Berjalanlah...
teruskan perjalananmu...

redahlah onak duri dihadapanmu
usah kau hirau pada sakit yang menyentap jiwamu
usah kau peduli pada susahnya jalan yang kautempuhi
kerana itu memang jalanmu
kerana itu memang pilihanmu

sakit itu hanya di dunia fana
sakit itu hanya sekelumit cuma

engkau punya matlamat
engkau punya prinsip
maka bawalah ia walau susah mana sekalipun

engkau yakin bukan, bahawa jalan yang kaupilih
merupakan jalan yang benar?
engkau yakin bukan , bahawa engkau di pihak yang benar?
engkau juga yakin bukan, bahawa hidupmu adalah untuk mencari redha-NYA?

duhai hati berjiwa mujahidah,

luruskan hatimu
bulatkan tekadmu
kuatkan azammu
yakinkan dirimu
bahawa Allah itu ada bersamamu
ya..ALLAH ITU ADA..

semaikan rasa sabar
pasakkan tiang ikhlas
kuatkan semangat jihad
insyaAllah, moga dikau istiqamah
pada jalan ini
"Tidak Allah menguji seseorang hamba, melainkan hambaNYA itu mampu menghadapinya"

Pesanan ringkas buat diri & sahabat-sahabat...
moga Allah bantu diriku & dirimu dalam setiap langkah kita menerokai redha-NYA. amin.